Tujuh Perkara ‘Jangan’ dilakukan Usahawan Melayu Untuk Maju

Satu nasihat yang sering diberi kepada sesiapa yang ingin memulakan perniagaan ialah menyediakan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi. Paling utama ialah ilmu dan kemahiran berkaitan bidang perniagaan yang ingin diceburi serta aspek pengurusan.

Ilmu dan kemahiran yang dicari boleh didapati dengan pelbagai cara. Satu kaedah menambah pengetahuan ialah dengan menghadiri seminar di mana kita dapat mendengar ucapan dan pembentangan kertas kerja oleh mereka yang arif dan pakar dalam bidang tertentu.

Sabtu lalu, saya dijemput ke Seminar Usahawan Muda anjuran Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan. Amat memberangsangkan apabila melihat ramai golongan muda Melayu hadir dan tekun mengikuti ucapan dan ceramah mengenai keusahawanan.

Berikutan perbincangan hebat kebelakangan ini mengenai pencapaian orang Melayu yang tidak menepati sasaran Dasar Ekonomi Baru (DEB), semangat dan minat yang ditunjukkan oleh ratusan peserta di seminar itu memberi harapan bahawa generasi muda Melayu sekarang ingin dan bersedia melakukan perubahan.

Melalui seminar itu, peserta berpeluang mendengar penerangan mengenai peluang perniagaan dan bantuan kewangan yang disediakan oleh pelbagai institusi. Lebih penting ialah peserta bertuah dapat mendengar ucapan dan pesanan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang merasmikan seminar itu.

Apabila pemimpin, tokoh usahawan atau pakar pengurusan berceramah kepada usahawan baru atau bakal usahawan, mereka biasanya akan mengingatkan perkara yang perlu dilakukan oleh usahawan untuk berjaya.

Bagaimanapun, Nor Mohamed dalam ucapannya pada seminar itu tidak memberi ingatan mengenai apa yang perlu dibuat tetapi menggariskan tujuh perkara yang ‘jangan’ dilakukan oleh usahawan jika mereka ingin berjaya.

Pesanan pertama beliau ialah usahawan jangan memilih sesuatu bidang perniagaan hanya kerana orang lain berjaya mengusahakannya, tanpa mengetahui selok-belok perniagaan berkenaan. Pemilihan sebegini amat berbahaya kerana tidak dibuat berasaskan penilaian yang wajar.

Usahawan diingatkan supaya jangan terikut-ikut dengan ‘sindrom goreng pisang’ yang sangat popular dikalangan Bumiputera, di mana bila ada orang berniaga goreng pisang, semua orang hendak berniaga goreng pisang.

Nasihat kedua ialah jangan mencampur adukkan urusan wang syarikat dengan wang sendiri. Ramai usahawan Bumiputera gagal mengawal disiplin diri dan gemar menggunakan wang perniagaan bagi tujuan sendiri. Ini menyebabkan perniagaan menghadapi masalah aliran tunai dan seterusnya gagal.

Dalam konteks ini, usahawan perlu faham konsep ‘entiti berasingan’ antara dirinya dengan perniagaannya, walaupun perniagaan itu kepunyaannya sendiri. Usahawan perlu menghormati perniagaannya sebagai satu entiti lain.

Perkara ketiga ialah jangan mengamalkan penipuan dalam perniagaan. Ini adalah tuntutan Islam di mana peniaga dilarang menipu dalam timbangan, sukatan atau maklumat mengenai produk. Penipuan akan menghilangkan barakah dalam urusan perniagaan dan lambat laun akan diketahui orang.

Perkara keempat yang diingatkan ialah usahawan jangan tamak. Ramai usahawan menjadi tamak apabila mula berjaya dan cuba membuat terlalu banyak perkara pada masa sama. Ini menyebabkan mereka hilang fokus dan akhirnya mungkin rugi seperti kata pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Pesanan kelima ialah jangan meminjam wang jika tidak perlu. Apabila usahawan meminjam wang, tujuannya haruslah untuk membantu menyelesaikan masalah perniagaan, bukannya untuk menjadi masalah kepada dirinya. Oleh itu pinjam hanya apabila perlu untuk keperluan perniagaan dengan keyakinan pinjaman dapat dibayar balik.

Nasihat keenam kepada usahawan ialah jangan mudah percaya kepada semua maklumat yang diterima. Ini lebih kritikal jika sumber maklumat itu kabur atau disangsikan. Dalam mengurus perniagaan, maklumat yang betul sangat penting supaya keputusan yang tepat dapat dibuat.

Keputusan yang salah boleh menjadi beban berat kepada usahawan dan perniagaannya. Untuk mengurangkan risiko membuat keputusan yang salah, usahawan perlu mengambil langkah mengesahkan setiap maklumat yang diperoleh.

Nasihat ketujuh Menteri Kewangan Kedua ialah usahawan jangan mempunyai perasaan dengki kepada usahawan lain. Ini satu kelemahan usahawan Bumiputera yang ketara. Memang berlaku di mana usahawan kita lebih sibuk menjatuhkan orang lain daripada berusaha memperbaiki diri.

Usahawan berjaya seharusnya dicemburui secara positif. Mereka yang berjaya hendaklah dijadikan penanda aras dan cabaran sebagai rangsangan untuk memajukan diri. Usahawan perlu percaya kepada konsep menang-menang. Malah dalam keadaan tertentu kita mungkin perlu biarkan orang lain menang asalkan kita tidak kerugian.

Dalam perniagaan, membina jaringan amat penting untuk berjaya. Oleh itu usahawan seharusnya bekerjasama membantu satu sama lain dalam jaringan yang melahirkan sinergi, bukan menyimpan rasa dengki yang berhasrat memusnahkan.

Tujuh perkara ‘jangan’ yang disebut oleh Nor Mohamed ini harus diberi perhatian serius peniaga dan usahawan Bumiputera. Jika kita perhatikan, sememangnya tujuh perkara yang disebutkan adalah kesilapan yang sering dilakukan oleh usahawan, terutama Bumiputera.

Semua sikap dan amalan negatif yang disarankan supaya dielak oleh usahawan adalah perkara biasa yang seharusnya disedari sendiri oleh usahawan bijak dan jujur. Malangnya, masih ramai yang gagal mengawal diri dan terjebak dengan amalan negatif kerana tidak merancang untuk jangka panjang.

Pengalaman Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menunjukkan memang benar perkara yang dibangkitkan oleh Nor Mohamed adalah antara punca utama kegagalan usahawan Bumiputera.

Semua usahawan Bumiputera, terutama usahawan muda dan baru dalam perniagaan, hendaklah belajar daripada kesilapan usahawan generasi terdahulu. Negara memerlukan usahawan Bumiputera generasi baru yang mengamalkan amalan pengurusan terbaik untuk menjadi usahawan berjaya.

*Dipetik dari
-Nota Niaga Berita Harian, 8 Aug 2005
-http://www.punb.com.my

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.